
Festivals
Perayaan Loy Krathong
Perayaan cahaya dan rasa syukur masyarakat Siam pada malam bulan purnama, disambut dengan Krathong yang dihanyutkan di sungai.
Perayaan Loy Krathong berlangsung pada malam bulan purnama, bulan ke-12 dalam kalendar lunar Siam setiap tahun. Perayaan ini disambut oleh masyarakat Siam sebagai tanda pengakhiran musim hujan dan musim penuaian. “Loy” membawa maksud terapung, manakala “Krathong” bermaksud hasil lipatan daun yang boleh terapung di atas air.
Krathong diperbuat daripada daun pisang supaya berbentuk teratai dan dihiaskan dengan bunga-bungaan, lilin dan colok, lalu dilepaskan di sungai. Masyarakat Siam percaya bahawa Krathong yang telah dilepaskan itu akan menjauhkan mereka daripada keburukan, membawa segala musibah dalam hidup mengalir jauh seperti Krathong yang dihanyutkan. Loy Krathong juga merupakan tanda kesyukuran dan penghormatan terhadap pelindung sungai, ataupun dikenali sebagai Phra Mae Khongkha (Dewi Gnagga).
Pertandingan Krathong
Pertandingan Krathong turut diadakan sebagai pengisian sebelah petang hari Loy Krathong. Krathong yang dihasilkan mestilah menggunakan bahan-bahan daripada sumber semula jadi, mengikut kreativiti masing-masing.

Pertandingan Ratu Noppamas
Pertandingan Ratu Noppamas turut menjadi daya tarikan kepada pengunjung tanpa mengira usia. Ratu Noppamas melambangkan wanita yang cantik budi bahasa, keayuan, tutur kata dan hati yang mulia.
Pertandingan ini sangat dinanti-nantikan oleh setiap masyarakat Siam dan menjadi satu lagi keistimewaan pada malam Perayaan Loy Krathong.